KARANGAN UPSR (Syarahan) : Faedah Bergotong-royong
Tulis sebuah syarahan yang bertajuk “Faedah
Bergotong-royong:.
Selamat sejahtera saya
ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang arif lagi bijaksana,
Guru Besar, guru-guru, dan para hadirin. Ada pagi yang mulia ini, saya akan
menyampaikan sebuah syarahan yang bertajuk “Faedah Bergotong-royong”.
Hadirin sekalian,
Menurut Kamus Dewan 2009,
konsep gotong-royong membawa maksud mengerjakan atau mengusahakan sesuatu
secara bersama-sama. Berdasarkan makna ini, sebarang aktiviti kerja yang
dilaksanakan secara bersama-sama bolehlah dianggap sebagai bergotong-royong.
Amalan bergotong-royong
memastikan semua kerja dapat dilaksanakan dengan cepat, mudah dan menjimatkan
kos serta meriah. Sebagai contoh, majlis perkahwinan menjadi lebih mudah untuk
dilaksanakan jika semua ahli masyarakat bekerjasama melaksanakannya selain
menjimatkan kos untuk mengupah orang datang memasak atau membina pelamin buat
pasangan pengantin. Ringkasnya, sikap mementingkan diri dapat dihindarkan
menerusi amalan yang murni ini.
Di kampung-kampung, amalan
ini masih lagi boleh dilihat dan berlaku sehingga hari ini. Dengan amalan ini,
kita bukan sahaja dapat menjimatkan kos dan masa tetapi mengeratkan perpaduan
sesama ahli masyarakat setempat kerana berlakunya interaksi ketika amaln
bergotong-royong ini dilakukan.
Oleh itu, amalan ini merupakan
satu tradisi mulia yang perlu dikekalkan. Kita sebagai rakyat di negara ini
yang terdiri daripada pelbagai kaum perlu mengekalkan amalan murni ini supaya
satu masyarakat yang bersatu-padu mampu dihasilkan dengan mudah. Perpaduan yang
selama ini wujud banyak bergantung kepada kekerapan aktiviti bergotong-royong
ini dilakukan.
Memandangkan masa tidak
mengizinkan saya untuk terus berkata-kata, biarlah saya mengundurkan diri
dahulu.
Sekian, terima kasih.
Syarahan Cara-cara Membalas Jasa Guru
Terima kasih Tuan
Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar, barisan hakim, guru-guru serta
rakan-rakan sekalian. Salam sejahtera saya ucapkan. Pada pagi yang berbahagia
ini, izinkan saya menyampaikan syarahan yang bertajuk "Cara-cara Membalas Jasa
Guru".
Hadirin sekalian,
Guru ialah insan yang mengajar kita
membaca, menulis dan mengira. Ilmu yang diberikan tidak terbatas dalam bidang
pendidikan sahaja, malahan merangkumi keperibadian seseorang. Justeru itu
sewajarnyalah sebagai manusia yang tahu mengenang budi, jasa mereka patut
dibalas.
Cara terbaik untuk membalas jasa
dan pengorbanan guru adalah dengan belajar bersungguh-sungguh. Di sekolah kita
hendaklah tekun mendengar ajaran guru dan janganlah mengamalkan sikap acuh tak
acuh semasa proses pengajaran sedang dijalankan. sikap sebegini menyebabkan
kita juga yang mengalami kerugian.
Hadirin yang dikasihi,
Selain itu, kita perlu
menghormati mereka seperti kita menghormati ibu bapa kita. Apabila berbicara
dengan mereka, gunakanlah kata-kata yang manis dan penuh budi bahasa. Malahan
janganlah bersikap berat tulang untuk menawarkan bantuan kepada mereka seperti
mengangkat buku dan membersihkan kelas.
Apabila sudah berjaya, jangan
sesekali melupakan jasa guru kita. Jika ada kesempatan, kirimkanlah kad kepada
mereka terutamanya pada Hari Guru. Malahan jika berpeluang kunjungilah mereka
untuk bertanyakan khabar.
Akhir sekali, hadiah paling
bermakna bagi membalas jasa guru ialah dengan menjadi murid yang berjaya dan
cemerlang dalam bidang akedimik serta menjadi manusia yang berguna kepada
agama, bangsa dan negara.
Sekian, terima kasih.
Syarahan tentang "Cara-cara Menjadi
Murid Cemerlang"
Karangan UPSR
Tulis syarahan bertajuk “Cara-cara Menjadi Murid
Cemerlang”
Selamat sejahtera saya ucapkan
kepada Tuan Pengerusi Majlis, guru besar, para guru serta rakan sekalian.
Izinkan saya menyampaikan satu syarahan bertajuk “Cara-cara Menjadi Murid
cemerlang”.
Hadirin,
Kecemerlangan pasti mampu
meningkatkan imej seseorang murid tersebut. Oleh itu, setiap murid harus tahu
cara-cara tertentu untuk mencapai kecemerlangan pendidikan ini.
Langkah awal ialah setiap
murid perlu sedar akan kelemahan diri mereka. Kefahaman akan kelemahan diri ini
membolehkan murid menyedari subjek yang perlu diberi penekanan lebih mendalam.
Oleh itu, murid akan belajar secara sistematik bagi menangani kelemahan
tersebut.
Selain itu, murid harus
memiliki jadual belajar yang efektif. Kewujudan jadual sebegini menjadikan
murid tahu masa yang sesuai untuk melakukan pelbagai aktiviti yang bukan sahaja
berkaitan dengan pelajaran tetapi aktiviti lain yang turut penting seperti
berbual-bual dengan rakan dan bersukan. Kepatuhan mematuhi jadual ini menjadikan
murid akan mengalami satu kehidupan belajar yang seimbang.
Hadirin yang budiman,
Setiap murid juga semestinya
memiliki satu teknik ulang kaji yang berkesan. Semua subjek harus diteliti dan
latihan yang cukup dilaksanakan untuk memastikan murid memahami subjek itu
secara mendalam. Latihan yang sistematik menjadikan murid lebih yakin untuk
menghadapi peperiksaan kelak.
Malah, aspek kesihatan diri
secara peribadi harus ditekankan. Amalan pemakanan seimbang bersama-sama
ketenangan emosi penting dalam kejayaan seseorang murid itu. Keadaan ini boleh
menjadikan murid lebih yakin dan tenang menghadapi sebarang cabaran peperiksaan
yang muncul.
Sesungguhnya, kecemerlangan
tidak mungkin diperoleh dengan mudah sahaja. Semua murid harus berusaha dan
mematuhi amalan-amalan positif tertentu. Tanpa usaha sudah pasti kejayaan tidak
akan muncul begitu sahaja.
Sekian sahaja syarahan saya pada kali ini. Terima kasih.
KLINIK KARANGAN SYARAHAN
KARANGAN SYARAHAN
Pengenalan
Satu daripada jenis karangan yang kerap diuji dalam UPSR ialah karangan
syarahan. Karangan jenis ini adalah karangan berformat. Untuk menulis karangan
jenis ini, ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian. Antaranya ialah:
• kata-kata aluan sebagai hormat kepada hadirin.
• untuk pertandingan menyebut ‘para hakim’.
• Kata-kata aluan dimulakan dengan pengurusi majlis, kemudian diikuti
mereka yang tinggi kedudukannya.
• menyebut ‘para hadirin’ untuk menimbulkan suasana bersyarah .
• kata alu-aluan dianggap pendahuluan, ‘terima kasih’ di akhir syarahan
dianggap penutup.
Soalan Perbincangan
Kamu telah menyertai pertandingan syarahan. Tajuk syarahan yang kamu pilih
ialah ‘Disiplin Penentu Kejayaan Pelajar’. Tuliskan syarahan kamu itu
sengkapnya.
Panjang karangan kamu mestilah tidak kurang daripada 80 patah perkataan.
Langkah 1
Memahami Kehendak Soalan;
Karangan ini menghendaki kamu menulis sebuah syarahan dengan menyatakan sebab
dan kepentingan disiplin dalam menentukan kejayaan dan kecemerlangan hidup
seseorang terutamanya pelajar.
Langkah 2
Isi Penting dan Kerangka;
Kamu hendaklah menyediakan isi-isi dan kerangka karangan berdasarkan konsep
peta minda. Peta minda atau kerangka karangan hendaklah dibuat secara ringkas
sahaja. Apa yang penting ialah kamu dapat menyatakan isi-isi penting yang
diperlukan untuk menulis ucapan tersebut.
Langkah 3
Menulis Karangan;
Berdasarkan peta minda di atas, anda bolehlah menulis karangan tersebut. Semasa
mengarang, binalah ayat-ayat yang betul tatabahasanya supaya kamu tidak
kehilangan markah di bahagian ini.
Baca contoh karangan di bawah ini.
Yang saya hormati, Tuan
Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru, dan hadirin
sekalian. Tajuk syarahan saya pada hari ini ialah ‘Disiplin Penentu Kejayaan.’
Hadirin sekalian,
Tahap disiplin kebanyakan
pelajar pada masa kini dikatakan berada pada tahap yang agak membimbingkan.
Pelbagai pengaruh negatif telah menggugat disiplin dan ketahanan diri pelajar
yang sepatutnya mempunyai tahap disiplin yang tinggi untuk mencapai kejayaan.
Hadirin sekalian,
Untuk mencapai kejayaan,
para pelajar mestilah memiliki disiplin yang tinggi. Hal ini, membolehkan para
pelajar membina sahsiah yang baik dan sentiasa patuh peraturan-peraturan yang
ditetapkan. Justeru itu, para pelajar mampu mengawal diri mereka daripada
ancaman pengaruh negatif yang merosakkan.
Selain itu, para pelajar akan terdorong untuk
mengamalkan gaya hidup sihat. Malahan, para pelajar juga tidak mudah
terpengaruh dengan perkara-perkara yang bertentangan dengan norma-norma kehidupan
masyarakat seperti pergaulan bebas, penyalahgunaan dadah, dan lepak. Dengan
itu, para pelajar akan dapat membina tingkah laku yang lebih baik dan dihormati
oleh masyarakat.
Hadirin sekalian,
Pemupukan
aspek disiplin perlu disertai dengan keyakinan dan kekuatan diri pelajar. Oleh
itu, para pelajar sepatutnya memperkasakan diri mereka dengan ajaran agama, dan
menghindari sebarang bentuk aktiviti yang boleh mendorong mereka melakukan
perlanggaran disiplin. Jika para pelajar bersedia dengan sepenuh hati, kejayaan
pasti menanti mereka.
Hadirin sekalian,
Daripada hujah-hujah yang
telah saya sampaikan, jelaslah bahawa para pelajar yang mempunyai tahap
disiplin yang tinggi akan lebih mudah menjulang kejayaan dalam pelajaran dan
kehidupan mereka kelak.
Sekian, terima kasih.
Langkah 4
Selepas mengarang, kamu
hendaklah membaca semula karangan. Betulkan semua kesalahan tatabahasa dari
segi penggunaan perkataan, struktur ayat, penggunaan imbuhan, tanda baca, dan
ejaan.
Latihan Minggu Ini:
Panjang karangan kamu mestilah tidak kurang daripada 80 patah perkataan.
1. Kamu telah mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan. Tajuk syarahan kamu
ialah ‘ Rakyat Sihat Negara Makmur’. Tuliskan syarahan kamu itu selengkapnya.
2. Kamu telah mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan di peringkat daerah.
Tajuk syarahan yang kamu pilih ialah ‘ Keluarga Cemerlang, masyarakat
terbilang’. Tuliskan syarahan kamu itu selengkapnya.
3. Kamu telah mengambil bahagian dalam pertandingan syarahan yang diadakan di
sekolah. Tajuk syarahan yang kamu pilih ialah ‘Pentingnya Perpustakaan’’.
Tuliskan syarahan kamu itu selengkapnya.
GLOSARI
bankrap menderita kerugian dan tidak mampu membayar segala hutangnya sehingga
perniagaannya tidak dapat teruskan, jatuh miskin dan habis harta bendanya
bengkel tempat membaiki kenderaan yang rosak, kilang kecil tempat tukang-tukang
bekerja,tempat pertemuan seniman, pelukis, penulis dan lain-lain, mesyuarat
atau perbincangan untuk bertukar-tukar pendapat
aliran
gerakan sesuatu yang cair, gerakan mengalir, gerakan
tenaga elektrik melalui kawat, haluan.
pusing berputar, mengalihkan hala, memeningkan,
membingungkan tak ambil tahu,
singkat tidak lama tempohnya, sekejap, sebentarringkas, cetek akal
susul mengejar sesuatu yang terdahulu, mengikuti, menyelidiki,
cagar barang yang jadi taruhan apabila hutang,cengkeram, pendahuluan
Contoh jawapan
Yang saya hormati Tuan Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana,
guru-guru, dan hadirin sekalian. Tajuk syarahan saya pada hari ini ialah
‘Rakyat Sihat Negara Makmur.’
Hadirin sekalian,
Biarlah saya huraikan apa yang dimaksudkan dengan rakyat yang sihat. Rakyat
yang sihat ialah mereka yang sihat fizikal dan mental. Untuk melahirkan rakyat
yang sihat, kita memerlukan makanan yang seimbang dan berzat. Selain itu, kita
juga memerlukan persekitaran yang tenteram.
Kerajaan kita telah menyediakan pelbagai kemudahan perubatan untuk memastikan
rakyat negara ini mendapat rawatan yang terbaik. Dengan hal yang demikian,
rakyat akan sentiasa berada dalam keadaan sihat. Rakyat yang sihat akan dapat
meningkatkan produktiviti dalam apa juga bidang yang diceburi. Bukankah ini
akan memberi pulangan yang besar kepada negara?
Hadirin sekalian,
Rakyat yang mempunyai mental atau emosi yang sihat pula akan berfikiran lebih
rasional. Kita tidak mungkin melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh
merosakkan diri sendiri, masyarakat, dan negara. Di dalam sebuah negara yang
berbilang kaum. Kita tentunya akan berusaha untuk mewujudkan perpaduan antara kaum.
Selain itu, jika sesebuah negara memiliki rakyat yang berkualiti, negara
tersebut akan disegani oleh negara-negara lain. Inilah sebenarnya yang sedang
berlaku sekarang. Negara kita yang berupaya mengekalkan kemakmuran dan
keharmonian, telah menjadi contoh kepada negara-negara lain.
Hadirin sekalian,
Bagi mengakhiri syarahan ini, saya menyeru kepada para hadirin, marilah kita
bersama-sama berusaha untuk memastikan negara kita ini akan terus menikmati
kemakmuran kerana rakyatnya sentiasa sihat.
Sekian, terima kasih.