Thursday 18 July 2013


Laporan Hari Sukan Sekolah


LAPORAN SUKAN 
SEKOLAH KEBANGSAAN TEBRAU BAKAR BATU


             Pada 27 Februari 2020 , Sekolah  Kebangsaan Tebrau Bakar Batu, telah mengadakan sukan tahunan sekolah. Hari sukan bermula pada pukul 8:00 pagi. Hari sukan diadakan di Padang Sekolah Kebangsaan Tebrau Bakar Batu.

 Pada pagi itu,semua olahragawan dan olahragawati beratur mengikut rumah masing-masing untuk masuk ke padang. Kami berkawat kaki mengikut rentak muzik. Pengerusi PIBG dijemput untuk menerima tabik kehormatan oleh murid-murid. Kemudian Ketua Kontinjen membaca ikrar. Kemudian Pengerusi PIBG dijemput berucap dan merasmikan temasya sukan tersebut.        

Selepas itu bermulalah acara. Antara acara yang dipertandingkan termasuklah acara 100m,200m,400m,4x100m. Selain itu, acara lontar peluru,lompat tinggi,lompat jauh dan tarik tali turut dipertandingkan.

        Pengerusi PIBG dan Guru Besar Sekolah  Kebangsaan Tebrau Bakar Batu dan beberapa orang ahli Jawatankuasa Temasya Sukan juga dijemput untuk menyampaikan pingat dan hadiah kepada semua pemanang. Mereka juga mengucapkan tahniah kepada pemenang.

Sebelum acara berakhir, Guru Besar mengumumkan keputusan temasya sukan pada hari tersebut. Johan ialah Rumah Biru, Naib johan pula disandang oleh Rumah Kuning manakala Rumah Hijau mendapat tempat ketiga. Olahragawati ialah Ainul Syakirah binti Mohd Idris dari Rumah Biru, manakala olahragawan ialah Aftar Fakir bin Mohd Idris juga dari Rumah Biru.

 Akhirnya, hari sukan berakhir dengan meriah. Sebelum pulang,Guru Besar meminta semua murid membersihkan padang .Guru Besar juga mengucapkan tahniah kepada pemenang dan memberikan nasihat kepada peserta yang kalah.


Disediakan oleh,                                                            28 Februari 2020


…………………………

(ZULKIFLI BIN MAT )

Setiausaha sukan,

Sekolah Kebangsaan Tebrau Bakar Batu.

Wednesday 17 July 2013


KARANGAN Peribahasa

Tajuk : Nasi Sudah Menjadi Bubur


Sazali ialah anak bongsu dalam kalangan adik-beradiknya.Dia telah dimanjakan secara keterlaluan oleh ibu dan ayahnya.Segala kemahuannya dituruti oleh keluarganya.Dia tidak suka mencontohi sikap kakak dan abangnya yang rajin . 

 
Dia juga sering pulang lewat malam walaupun telah ditegah oleh kakak dan abangnya kerana dia tak akan ditegur oleh ayahnya yang sibuk bekerja.Dia juga bergaul dengan kawan yang tidak berakhlak . 

 
Lebih-lebih lagi,dia mula mencuri di kedai-kedai.Dia berasa puas dan gembira apabila telah melakukan perlakuan yang tidak bermoral itu.Dia juga tidak mendengar akan nasihat ibu bapanya seperti mencurah air ke daun keladi. 

Pada suatu hari,dia dan rakan-rakannya telah membuat satu rancangan untuk merompak sebuah bank yang berdekatan dengan taman perumahan mereka.Dia telah memebuat perancangan yang sungguh teliti.Tetapi malang tidak berbau,Sazali dan rakan-rakannya telah ditangkap semasa asyik merompak bank oleh salah seorang kawan anggota polis yang kebetulan sedang membuat rondaan di kawasan itu. 

Sazali dan rakan-rakannya telah dipenjarakan selama sepuluh tahun.Dia juga dijatuhkan hukuman rotan sebanyak lima kali kerana kesalahan merompak. 

Walau bagaimanapun, "nasi sudah menjadi bubur".Tiada gunanya untuk menyesal.Oleh itu,kita tidak seharusnya melakukan sesuatu perkara yang boleh membawa keburukan kepada diri kita. 

 

Fakta: Kebaikan-kebaikan Menyimpan Wang di Bank

Ceritakan tentang kebaikan-kebaikan menyimpan wang di bank. Panjang karangan kamu mestilah tidak kurang daripada 80 patah perkataan.

* * * * *

Rangka Karangan :

Pendahuluan
-digalakkan simpan wang di bank kerana banyak kebaikannya
-buka akaun bank sebelum boleh menyimpan wang
-banyak pilihan bank

Perenggan ke-2
-simpanan dijamin selamat
-kehilangan atau kecurian, tanggungjawab bank
-bencana alam, tangungjawab bank

Perenggan ke-3
-menjamin masa hadapan
-contoh; membiayai pengajian
-perlu menyimpan secara tetap

Perenggan ke-4
-cermat berbelanja
-pandai menguruskan wang sendiri
-lepas daripada masalah kewangan                            

Penutup  
-amalan menyimpan wang perlu diamalkan
-kehidupan akan lebih terjamin

 

 

**   **   **   **   **

Kebaikan-kebaikan Menyimpan Wang di Bank

Kita amat digalakkan untuk menyimpan wang di bank kerana banyak kebaikannya. Bagi membolehkan kita menyimpan wang di bank, kita perlulah membuka akaun bank di mana-mana bank seperti Bank Simpanan Nasional, MayBank, Tabung Haji dan lain-lain bagi.

           Antara kebaikan menyimpan wang di bank ialah simpanan kita dijamin selamat. Kita tidak perlu risau tentang keselamatan wang simpanan kita daripada kecurian dan kehilangan kerana semua itu akan ditanggung oleh pihak bank. Begitu juga jika sekiranya berlaku bencana seperti kebakaran dan banjir, wang kita dijamin selamat di bawah tanggungjawab pihak bank.

            Menyimpan wang di bank juga boleh menjamin masa depan kita. Contohnya, kita boleh membiayai perbelanjaan untuk melanjutkan pelajaran di universiti daripada wang simpanan tersebut. Oleh itu, kita mestilah menyimpan wang secara tetap supaya boleh digunakan pada masa yang memerlukan.

            Selain itu, kita dapat berjimat-cermat apabila menyimpan wang di bank. Kita tidak akan boros berbelanja kerana sebahagian wang akan disimpan di bank. Ini akan melatih kita menjadi seorang yang pandai menguruskan wang perbelanjaan. Amalan perbelanjaan yang baik akan mengelakkan seseorang itu terjebak dalam masalah hutang dan sebagainya.

            Kesimpulannya, amalan menyimpan wang di bank haruskan kita amalkan kerana cara ini amat banyak kebaikannya. Oleh itu, tanamkan sikap untuk menyimpan wang di bank demi kehidupan yang lebih terjamin.

 

Fakta: Kebaikan Hobi Saya. (Versi 1)

Setiap orang mempunyai hobi. Tulis kebaikan hobi yang kamu gemari.

 

Hobi ialah sesuatu yang gemar dilakukan pada masa lapang. Antara contoh-contoh hobi ialah memancing, mengumpul setem, membaca, melukis dan bersukan. Saya juga mempunyai hobi iaitu bermain bola sepak. Saya melakukan aktiviti ini pada setiap petang kecuali jika ada urusan lain yang lebih penting.


Saya memilih bermain bola sepak sebagai hobi kerana minat saya yang mendalam terhadap permainan ini. Oleh sebab itulah saya selalu menyaksikan perlawanan bola sepak secara langsung di kaca televisyen. Selain itu, saya juga pernah pergi ke studium Bukit Jalil dengan keluarga saya untuk menonton suatu perlawanan akhir bola sepak . 

 
Hobi ini banyak memberi kebaikan kepada saya. Antara kebaikan tersebut ialah mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah, menyihatkan badan, menjadikan saya cergas serta cerdas dan menambahkan kenalan. Pada waktu lapang seperti pada waktu petang, saya dapat mengisi masa lapang ini dengan bermain bola sepak. Aktiviti ini mengelakkan saya daripada terjebak dalam kegiatan yang merugikan seperti melepak dan sebagainya.

 
Selain itu, hobi ini juga dapat menyihatkan tubuh saya kerana permainan ini menyebabkan badan saya berpeluh, jantung saya berfungsi dengan baik dan melangsingkan badan saya. Oleh sebab itulah saya jarang terkena penyakit seperti demam dan sebagainya. Saya juga tidak risau tentang masalah kegemukan yang boleh mendatangkan penyakit yang merbahaya seperti darah tinggi, kecing manis dan lain-lain lagi.


Permainan bola sepak juga menyebabkan badan saya cergas dan otak saya cerdas. Saya perlu melakukan tindakan-tindakan yang tangkas serta lasak dalam permainan ini. Hasilnya otot-otot badan saya menjadi kuat dan pergerakan saya lebih pantas. Selain itu, saya juga tidak mudah berasa lesu atau penat. Ini membantu saya sentiasa cergas semasa belajar di sekolah atau semasa mengulang kaji pelajaran di rumah. Badan saya yang sihat dan bertenaga juga membolehkan saya mudah memahami sesuatu pelajaran. Oleh sebab itu, saya sering mendapat keputusan yang cemerlang dalam pelajaran.

             Di samping itu, saya memperoleh ramai kenalan melalui hobi ini. Permainan bola sepak memerlukan pemain yang ramai. Oleh itu, saya berpeluang menambahkan kenalan terutama apabila melibatkan pertandingan dengan pasukan bola sepak dari luar.  

            Kesimpulannya setiap orang mempunyai hobi tersendiri. Kita bebas memilih hobi yang kita gemari, bak kata pepatah "Tepuk dada, tanya selera". Namun, perlu kita ingat hobi tersebut tidak seharusnya merugikan kita. Sesuatu hobi yang baik dan sesuai sepatutnya akan mendatangkan

 

KARANGAN UPSR (fakta) : Faedah Memanfaatkan Perpustakaan

 

SOALAN : Murid-murid digalakkan pergi ke perpustakaan. Berikan pandapat kamu tentang faedah-faedah yang diperoleh jika seseorang itu memanfaatkan perpustakaan


              Perpustakan adalah gedung ilmu.Di perpustakaan terdapat banyak buku yang boleh dibaca seperti seperti buku cerita, novel, majalah, jurnal, dan lain-lain lagi. Di negara kita, perpustakaan awam terdapat di mana-mana sahaja untuk kemudahan orang ramai membaca. Ini kerana dengan membaca, pengetahuan murid-murid semakin bertambah dan ini tentu membantu murid-murid dalam pelajaran. Perpustakaan banyak memberi faedah kepada kita.

             Sebagai murid, kita dapat mengisi masa lapang dengan memanfaatkan perpustakaan. Mereka yang selalu ke perpustakaan akan dapat mengelakkan diri daripada bergaul dengan kacang hantu. Ini secara tidak langsung akan terhindar daripada terjebak dengan gejala yang tidak sihat seperti melepak, merokok dan lain-lain lagi. Dengan itu, murid-murid akan berjaya dalam pelajaran dan masa depan mereka akan lebih cerah.

            Selain itu, perpustakaan adalah tempat membentuk disiplin diri. Perpustakaan mempunyai peraturan-peraturan yang mesti dipatuhi seperti larangan membuat bising, memulangkan buku mengikut tarikh, menyusun semula buku di raknya dan seumpamanya lagi. Justeru, murid-murid dapat berlatih mendisplinkan diri di perpustakaan dan ini diharap akan menjadi amalan dalam kehidupan mereka.

            Di samping itu, sekiranya kita memanfaatkan perpustakaan, kita juga dapat menjimatkan wang ibu bapa murid-murid. Murid-murid tidak perlu membeli semua buku kerana sesetengah buku boleh dipinjam di perpustakaan. Oleh itu, wang yang mahu digunakan untuk membeli buku-buku tersebut bolehlah disimpan di dalam tabung. atau membeli barang keperluan yang lain.

            Kesimpulannya, perpustakaan mempunyai banyak faedahnya. Oleh itu, kita perlu memanfaatkna perpustakaan yang disediakan demi kemajuan kita dalam pelajaran. Tambahan pula, murid-murid juga dapat menghilangkan rasa bosan setelah penat belajar dengan membaca buku-buku tertentu di perpustakaan seperti komik, majalah dan sebagainya.

 

KARANGAN UPSR (CERITA) Tindakan Apabila Rakan Tercedera



SOALAN :: Kamu dan rakan-rakan kamu sedang menyiapkan tugasan di Bilik Kemahiran Hidup. Tiba-tiba salah seorang daripada rakan kamu tercedera kerana terkena benda tajam. Ceritakan tindakan-tindakan yang kamu lakukan.


      Pada suatu hari, aku dan rakan-rakan sedang mengikuti kelas Kemahiran Hidup. Tiba-tiba seorang rakanku tercedera akibat terkena pahat. Pada waktu itu, Cikgu Ali iaitu guru Kemahiran Hidup kami pergi ke tandas.
     Justeru, aku terus ke bilik guru untuk memberitahu guru tentang kejadian itu. Aku turut mendapatkan peti pertolongan cemas yang terletak di situ. Kami bergegas ke bilik Kemahiran Hidup.
     Pada mulanya aku menyapu ubat antiseptik untuk membunuh kuman yang terdapat pada luka tersebut. Kemudian, aku membalut luka tersebut mengikut cara yang aku pelajari semasa aku menyertai Persatuan Bulan Sabit Merah pada tahun lalu.
     Selepas itu, aku dan guruku memapah rakanku ke bilik rehat dan menelefon kedua-dua ibu bapa rakanku untuk memaklumkan mereka tentang peristiwa tersebut. Kemudian, kami membawanya ke hospital untuk rawatan lanjut.
     Beberapa minggu kemudian, luka rakanku semakin pulih. Dia berterima kasih atas pertolongan yang aku berikan semasa dia tercedera di Bilik Kemahiran Hidup tempoh hari. Aku bersyukur kerana luka kawanku tidak serius dan sudah semakin pulih.
     Dia berjanji akan mematuhi segala peraturan semasa berada di Bilik kemahiran Hidup dan berhati-hati ketika menggunakan benda-benda yang tajam semasa pengajaran dan pembelajaran.


 

KARANGAN UPSR (Syarahan) : Faedah Bergotong-royong

Tulis sebuah syarahan yang bertajuk “Faedah Bergotong-royong:.


Selamat sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, Guru Besar, guru-guru, dan para hadirin. Ada pagi yang mulia ini, saya akan menyampaikan sebuah syarahan yang bertajuk “Faedah Bergotong-royong”.

Hadirin sekalian,

Menurut Kamus Dewan 2009, konsep gotong-royong membawa maksud mengerjakan atau mengusahakan sesuatu secara bersama-sama. Berdasarkan makna ini, sebarang aktiviti kerja yang dilaksanakan secara bersama-sama bolehlah dianggap sebagai bergotong-royong.

Amalan bergotong-royong memastikan semua kerja dapat dilaksanakan dengan cepat, mudah dan menjimatkan kos serta meriah. Sebagai contoh, majlis perkahwinan menjadi lebih mudah untuk dilaksanakan jika semua ahli masyarakat bekerjasama melaksanakannya selain menjimatkan kos untuk mengupah orang datang memasak atau membina pelamin buat pasangan pengantin. Ringkasnya, sikap mementingkan diri dapat dihindarkan menerusi amalan yang murni ini.

Di kampung-kampung, amalan ini masih lagi boleh dilihat dan berlaku sehingga hari ini. Dengan amalan ini, kita bukan sahaja dapat menjimatkan kos dan masa tetapi mengeratkan perpaduan sesama ahli masyarakat setempat kerana berlakunya interaksi ketika amaln bergotong-royong ini dilakukan.

Oleh itu, amalan ini merupakan satu tradisi mulia yang perlu dikekalkan. Kita sebagai rakyat di negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum perlu mengekalkan amalan murni ini supaya satu masyarakat yang bersatu-padu mampu dihasilkan dengan mudah. Perpaduan yang selama ini wujud banyak bergantung kepada kekerapan aktiviti bergotong-royong ini dilakukan.

Memandangkan masa tidak mengizinkan saya untuk terus berkata-kata, biarlah saya mengundurkan diri dahulu.

Sekian, terima kasih.

 

 


Syarahan Cara-cara Membalas Jasa Guru



          Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar, barisan hakim, guru-guru serta rakan-rakan sekalian. Salam sejahtera saya ucapkan. Pada pagi yang berbahagia ini, izinkan saya menyampaikan syarahan yang bertajuk "Cara-cara Membalas Jasa Guru".

Hadirin sekalian,
           Guru ialah insan yang mengajar kita membaca, menulis dan mengira. Ilmu yang diberikan tidak terbatas dalam bidang pendidikan sahaja, malahan merangkumi keperibadian seseorang. Justeru itu sewajarnyalah sebagai manusia yang tahu mengenang budi, jasa mereka patut dibalas.


            Cara terbaik untuk membalas jasa dan pengorbanan guru adalah dengan belajar bersungguh-sungguh. Di sekolah kita hendaklah tekun mendengar ajaran guru dan janganlah mengamalkan sikap acuh tak acuh semasa proses pengajaran sedang dijalankan. sikap sebegini menyebabkan kita juga yang mengalami kerugian.
Hadirin yang dikasihi,


            Selain itu, kita perlu menghormati mereka seperti kita menghormati ibu bapa kita. Apabila berbicara dengan mereka, gunakanlah kata-kata yang manis dan penuh budi bahasa. Malahan janganlah bersikap berat tulang untuk menawarkan bantuan kepada mereka seperti mengangkat buku dan membersihkan kelas.


            Apabila sudah berjaya, jangan sesekali melupakan jasa guru kita. Jika ada kesempatan, kirimkanlah kad kepada mereka terutamanya pada Hari Guru. Malahan jika berpeluang kunjungilah mereka untuk bertanyakan khabar.


            Akhir sekali, hadiah paling bermakna bagi membalas jasa guru ialah dengan menjadi murid yang berjaya dan cemerlang dalam bidang akedimik serta menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.
Sekian, terima kasih.

 


Syarahan tentang "Cara-cara Menjadi Murid Cemerlang"

Karangan UPSR

Tulis syarahan bertajuk “Cara-cara Menjadi Murid Cemerlang”

          Selamat sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis, guru besar, para guru serta rakan sekalian. Izinkan saya menyampaikan satu syarahan bertajuk “Cara-cara Menjadi Murid cemerlang”.

Hadirin,

           Kecemerlangan pasti mampu meningkatkan imej seseorang murid tersebut. Oleh itu, setiap murid harus tahu cara-cara tertentu untuk mencapai kecemerlangan pendidikan ini.

            Langkah awal ialah setiap murid perlu sedar akan kelemahan diri mereka. Kefahaman akan kelemahan diri ini membolehkan murid menyedari subjek yang perlu diberi penekanan lebih mendalam. Oleh itu, murid akan belajar secara sistematik bagi menangani kelemahan tersebut.

           Selain itu, murid harus memiliki jadual belajar yang efektif. Kewujudan jadual sebegini menjadikan murid tahu masa yang sesuai untuk melakukan pelbagai aktiviti yang bukan sahaja berkaitan dengan pelajaran tetapi aktiviti lain yang turut penting seperti berbual-bual dengan rakan dan bersukan. Kepatuhan mematuhi jadual ini menjadikan murid akan mengalami satu kehidupan belajar yang seimbang.

Hadirin yang budiman,

            Setiap murid juga semestinya memiliki satu teknik ulang kaji yang berkesan. Semua subjek harus diteliti dan latihan yang cukup dilaksanakan untuk memastikan murid memahami subjek itu secara mendalam. Latihan yang sistematik menjadikan murid lebih yakin untuk menghadapi peperiksaan kelak.

             Malah, aspek kesihatan diri secara peribadi harus ditekankan. Amalan pemakanan seimbang bersama-sama ketenangan emosi penting dalam kejayaan seseorang murid itu. Keadaan ini boleh menjadikan murid lebih yakin dan tenang menghadapi sebarang cabaran peperiksaan yang muncul.

              Sesungguhnya, kecemerlangan tidak mungkin diperoleh dengan mudah sahaja. Semua murid harus berusaha dan mematuhi amalan-amalan positif tertentu. Tanpa usaha sudah pasti kejayaan tidak akan muncul begitu sahaja.

Sekian sahaja syarahan saya pada kali ini. Terima kasih.

 
 
 
KLINIK KARANGAN SYARAHAN

KARANGAN SYARAHAN

Pengenalan

Satu daripada jenis karangan yang kerap diuji dalam UPSR ialah karangan syarahan. Karangan jenis ini adalah karangan berformat. Untuk menulis karangan jenis ini, ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian. Antaranya ialah:

• kata-kata aluan sebagai hormat kepada hadirin.

• untuk pertandingan menyebut ‘para hakim’.

• Kata-kata aluan dimulakan dengan pengurusi majlis, kemudian diikuti
mereka yang tinggi kedudukannya.

• menyebut ‘para hadirin’ untuk menimbulkan suasana bersyarah .

• kata alu-aluan dianggap pendahuluan, ‘terima kasih’ di akhir syarahan dianggap penutup.

Soalan Perbincangan


Kamu telah menyertai pertandingan syarahan. Tajuk syarahan yang kamu pilih ialah ‘Disiplin Penentu Kejayaan Pelajar’. Tuliskan syarahan kamu itu sengkapnya.

Panjang karangan kamu mestilah tidak kurang daripada 80 patah perkataan.


Langkah 1

Memahami Kehendak Soalan;
Karangan ini menghendaki kamu menulis sebuah syarahan dengan menyatakan sebab dan kepentingan disiplin dalam menentukan kejayaan dan kecemerlangan hidup seseorang terutamanya pelajar.

Langkah 2

Isi Penting dan Kerangka;
Kamu hendaklah menyediakan isi-isi dan kerangka karangan berdasarkan konsep peta minda. Peta minda atau kerangka karangan hendaklah dibuat secara ringkas sahaja. Apa yang penting ialah kamu dapat menyatakan isi-isi penting yang diperlukan untuk menulis ucapan tersebut.
Langkah 3

Menulis Karangan;
Berdasarkan peta minda di atas, anda bolehlah menulis karangan tersebut. Semasa mengarang, binalah ayat-ayat yang betul tatabahasanya supaya kamu tidak kehilangan markah di bahagian ini.


Baca contoh karangan di bawah ini.

               Yang saya hormati, Tuan Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru, dan hadirin sekalian. Tajuk syarahan saya pada hari ini ialah ‘Disiplin Penentu Kejayaan.’

Hadirin sekalian,

            Tahap disiplin kebanyakan pelajar pada masa kini dikatakan berada pada tahap yang agak membimbingkan. Pelbagai pengaruh negatif telah menggugat disiplin dan ketahanan diri pelajar yang sepatutnya mempunyai tahap disiplin yang tinggi untuk mencapai kejayaan.

Hadirin sekalian,

             Untuk mencapai kejayaan, para pelajar mestilah memiliki disiplin yang tinggi. Hal ini, membolehkan para pelajar membina sahsiah yang baik dan sentiasa patuh peraturan-peraturan yang ditetapkan. Justeru itu, para pelajar mampu mengawal diri mereka daripada ancaman pengaruh negatif yang merosakkan.

              Selain itu, para pelajar akan terdorong untuk mengamalkan gaya hidup sihat. Malahan, para pelajar juga tidak mudah terpengaruh dengan perkara-perkara yang bertentangan dengan norma-norma kehidupan masyarakat seperti pergaulan bebas, penyalahgunaan dadah, dan lepak. Dengan itu, para pelajar akan dapat membina tingkah laku yang lebih baik dan dihormati oleh masyarakat.

Hadirin sekalian,


             Pemupukan aspek disiplin perlu disertai dengan keyakinan dan kekuatan diri pelajar. Oleh itu, para pelajar sepatutnya memperkasakan diri mereka dengan ajaran agama, dan menghindari sebarang bentuk aktiviti yang boleh mendorong mereka melakukan perlanggaran disiplin. Jika para pelajar bersedia dengan sepenuh hati, kejayaan pasti menanti mereka.



Hadirin sekalian,

            Daripada hujah-hujah yang telah saya sampaikan, jelaslah bahawa para pelajar yang mempunyai tahap disiplin yang tinggi akan lebih mudah menjulang kejayaan dalam pelajaran dan kehidupan mereka kelak.

Sekian, terima kasih.


Langkah 4


              Selepas mengarang, kamu hendaklah membaca semula karangan. Betulkan semua kesalahan tatabahasa dari segi penggunaan perkataan, struktur ayat, penggunaan imbuhan, tanda baca, dan ejaan.

Latihan Minggu Ini:


Panjang karangan kamu mestilah tidak kurang daripada 80 patah perkataan.

1. Kamu telah mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan. Tajuk syarahan kamu ialah ‘ Rakyat Sihat Negara Makmur’. Tuliskan syarahan kamu itu selengkapnya.

2. Kamu telah mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan di peringkat daerah. Tajuk syarahan yang kamu pilih ialah ‘ Keluarga Cemerlang, masyarakat terbilang’. Tuliskan syarahan kamu itu selengkapnya.

3. Kamu telah mengambil bahagian dalam pertandingan syarahan yang diadakan di sekolah. Tajuk syarahan yang kamu pilih ialah ‘Pentingnya Perpustakaan’’. Tuliskan syarahan kamu itu selengkapnya.


GLOSARI



bankrap menderita kerugian dan tidak mampu membayar segala hutangnya sehingga perniagaannya tidak dapat teruskan, jatuh miskin dan habis harta bendanya


bengkel tempat membaiki kenderaan yang rosak, kilang kecil tempat tukang-tukang bekerja,tempat pertemuan seniman, pelukis, penulis dan lain-lain, mesyuarat atau perbincangan untuk bertukar-tukar pendapat

aliran

gerakan sesuatu yang cair, gerakan mengalir, gerakan
tenaga elektrik melalui kawat, haluan.

pusing berputar, mengalihkan hala, memeningkan,
membingungkan tak ambil tahu,
singkat tidak lama tempohnya, sekejap, sebentarringkas, cetek akal

susul mengejar sesuatu yang terdahulu, mengikuti, menyelidiki,


cagar barang yang jadi taruhan apabila hutang,cengkeram, pendahuluan


Contoh jawapan

Yang saya hormati Tuan Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru, dan hadirin sekalian. Tajuk syarahan saya pada hari ini ialah ‘Rakyat Sihat Negara Makmur.’

Hadirin sekalian,

Biarlah saya huraikan apa yang dimaksudkan dengan rakyat yang sihat. Rakyat yang sihat ialah mereka yang sihat fizikal dan mental. Untuk melahirkan rakyat yang sihat, kita memerlukan makanan yang seimbang dan berzat. Selain itu, kita juga memerlukan persekitaran yang tenteram.

Kerajaan kita telah menyediakan pelbagai kemudahan perubatan untuk memastikan rakyat negara ini mendapat rawatan yang terbaik. Dengan hal yang demikian, rakyat akan sentiasa berada dalam keadaan sihat. Rakyat yang sihat akan dapat meningkatkan produktiviti dalam apa juga bidang yang diceburi. Bukankah ini akan memberi pulangan yang besar kepada negara?

Hadirin sekalian,

Rakyat yang mempunyai mental atau emosi yang sihat pula akan berfikiran lebih rasional. Kita tidak mungkin melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh merosakkan diri sendiri, masyarakat, dan negara. Di dalam sebuah negara yang berbilang kaum. Kita tentunya akan berusaha untuk mewujudkan perpaduan antara kaum.

Selain itu, jika sesebuah negara memiliki rakyat yang berkualiti, negara tersebut akan disegani oleh negara-negara lain. Inilah sebenarnya yang sedang berlaku sekarang. Negara kita yang berupaya mengekalkan kemakmuran dan keharmonian, telah menjadi contoh kepada negara-negara lain.

Hadirin sekalian,

Bagi mengakhiri syarahan ini, saya menyeru kepada para hadirin, marilah kita bersama-sama berusaha untuk memastikan negara kita ini akan terus menikmati kemakmuran kerana rakyatnya sentiasa sihat.

Sekian, terima kasih.

 

Wednesday 10 July 2013


Fakta-Faedah Menyimpan Wang

Faedah Menyimpan Wang

       “Sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit.” Itulah pegangan orang yang pandai berjimat-cermat demi masa depan mereka. Wang amat penting dalam kehidupan manusia. Dengan wang kita dapat membeli apa sahaja yang diingini.
      Oleh itu, kita hendaklah berjimat-cermat ketika menggunakan wang. Kita boleh menyimpanwang di dalam tabung, bank dan pejabat pos. Sungguhpun pada mulanya wang yang kita simpan itu sedikit, tetapi lama-kelamaan ia akan menjadi banyak. Dengan wang yang kita simpan itu, kita boleh menampung serba sedikit perbelanjaan sekolah seperti membeli buku-buku dan alat tulis.
       Setiap hari ibu bapa membanting tulang mencari wang untuk menyekolahkan kita. Kita harus memikirkan betapa susahnya mereka mencari wang. Jadi, dengan menabung, mungkin suatu hari nanti kita dapat membantu pula ibu bapa kita.
         Jika kita jatuh sakit atau ditimpa kemalangan, wang yang disimpan boleh digunakan pada saat-saat genting ini. Begitu juga jika kita ingin berniaga. Sudah tentu kita memerlukan modal yang banyak. Wang simpanan kita akan membantu kita menyenangkan perbelanjaan. Hari ini amat berbeza dengan zaman dahulu. Wang adalah segala-galanya untuk kita meneruskan hidup.
        Kesimpulannya, tabiat menyimpan wang mempunyai banyak faedah. Tabiat ini haruslah ditanam sejak kecil lagi. Kata pepatah, “kalau melentur buluh, biarlah dari rebungnya.

 

 

KEPENTINGAN AMALAN MENABUNG

               Menabung ialah amalan meyimpan wang yang diperoleh. Wang ini disimpan di tempat yang selamat seperti di bank atau dalam bentuk saham atau bon. Menabung juga dapat dikatakan seperti menyediakan payung sebelum hujan. Banyak kebaikan yang akan kita peroleh jika kita menabung.

              Salah satu daripada kebaikan menabung ialah kita akan mendapat keuntungan. Hal ini kerana wang yang disimpan di bank akan dibayar faedah manakala saham akan dibayar dividen. Sebagai contoh, jika kita menyimpan wang di dalam akaun simpanan tetap,kita akan dibayar faedah mengikut kadar dan tempoh simpanan. Oleh itu,lebih lama wang itu disimpan,lebih tinggi kadar faedah yang akan diperoleh.

               Amalan menabung akan mendidik kita supaya sentiasa berjimat cermat. Sikap berjimat cermat sebenarnya merupakan satu amalan yang baik kerana kita akan lebih berhati-hati dalam membuat perbelanjaan. Oleh itu,dapat mengelakkan pembaziran. Sebagai contoh,apabila mempunyai wang lebihan,seseorang yang tidak menabung akan bertindak membelanjakan wang tersebut untuk membeli barang yang dikehendakinya. Tegasnya,sikap suka menabung akan menjadikan seseorang itu tidak membazir.

                 Amalan menabung juga dapat membantu kita dalam keadaan kecemasan yang memerlukan wang. Kita sebenarnya tidak dapat menjangka hal yang akan berlaku kepada diri kita atau keluarga kita,bak kata orang malang tidak berbau. Oleh itu,jika kita ditimpa kemalangan atau dijangkiti penyakit,kita boleh menggunakan wang simpanan untuk mendapatkan rawatan yang baik di hospital. Justeru,wang simpanan yang ada dapat menyelamatkan nyawa anda dalam keadaan yang darurat.

                Menabung juga dapat mengawal inflasi. Hal ini demikian kerana apabila kita menabung,wang yang mengalir dalam aktiviti belian adalah kurang.Keadaan ini dapat mengelakkan kenaikan harga barang dalam pasaran. Apabila harga barang tidak naik,inflasi tidak akan berlaku. Oleh itu,menabung dapat mengawal inflasi.

             Kesimpulannya,kita mesti mengamalkan sikap suka menabung. Kanak-kanak harus digalakkan supaya menabung sejak kecil lagi. Wang yang disimpan itu mungkin sedikit tetapi sikit-sikit lama-lama jadi bukit.          

 

BM Kertas Penulisan

Bahagian A - Padang Sekolah / Bilik Khas / Rumah / Khemah / Sukan

- memasang/mendirikan khemah – untuk bermalam / tidur
- memasak makanan – hidangan makan malam
- menjerang air – dengan menggunakan cerek dan dimasak menggunakan kayu api
- mendengar taklimat daripada guru penasihat unit beruniform – tentang aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan
- belajar ikatan dan simpulan tali – untuk mendapat kemahiran yang berguna dalam kehidupan


Bahagian B - Faedah Kokurikulum / Membawa Bekal / Faedah Menabung / Hari Guru / Hari Anugerah Kecemerlangan

- mengisi masa lapang – ikut peraturan – hadir mengikut jadual yang ditetapkan
- dapat pengetahuan baru – dapat digunakan dalam pelajaran di kelas – membentuk diri dengan sifat berani
- mendapat rakan baru – bertukar-tukar fikiran – ada teman untuk bercerita / belajar – boleh membantu dalam pelajaran
- elak membuang masa dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah – terjebak dengan gejala sosial yang tidak baik – melepak, menghisap rokok, mencuri
- membentuk disiplin diri – dalam unit beruniform – melalui aktiviti kawad kaki


Bahagian C - Nilai Berita / Laporan / Fakta / Sajak

- baik hati
- jujur
- prihatin / peka
- bertanggungjawab
- semangat setiakawan
- ikhlas
- berani
- menjaga kebersihan
- menjaga kesihatan
- bersemangat patriotisme
- tolong-menolong / bantu-membantu
- sabar / tabah
- cermat
- berhati-hati
- berdisiplin
- menghargai masa
-menghargai jasa – berterima kasih


**********************************************************************************

BAHAGIAN B (contoh karangan)

Faedah-faedah Menabung


         Menabung merupakan amalan yang harus dipupuk sejak kecil lagi. Bak kata pepatah melentur buluh biar daripada rebungnya. Pelbagai faedah dapat diperoleh daripada amalan menabung.

         Amalan menabung dapat membentuk diri menjadi insan yang berjimat-cermat. Kita akan sentiasa berhati-hati sewaktu membeli barang. Kita dapat membezakan antara barang yang perlu dan barang yang diinginkan.

        Selain itu, amalan menabung dapat membantu kita sewaktu diperlukan. Wang tabungan dapat digunakan untuk menyelesaikan masalah tersebut. Kita tidak perlu meminjam kerana perkara tersebut tidak harus diamalkan.

        Amalan menabung juga dapat meringankan bebanan kewangan ibu bapa. Kita tidak perlu mengharapkan wang ibu bapa. Wang tabungan kita boleh digunakan untuk membeli buku rujukan atau alat tulis. Kita sebenarnya dapat meringankan bebanan kewangan ibu bapa dan menjadi anak yang lebih bertanggungjawab.

       Di samping itu, wang tabungan dapat digunakan untuk melanjutkan pelajaran. Sekiranya kita memerlukan wang untuk membayar yuran dan peralatan yang diperlukan,kita boleh menggunakan wang tabungan. Kita sebenarnya telah merancang kewangan dengan baik.

     Kesimpulannya, amalan menabung harus diamalkan oleh semua orang. Amalan menabung dapat membantu kita menjalani kehidupan dengan lebih berkualiti.

 

KARANGAN FAKTA : FAEDAH BERSUKAN

 

Bersukan merupakan aktiviti riadah yang dapat mengeluarkan peluh daripada tubuh badan kita. Malah, kerajaan menggalakkan rakyatnya sentiasa melibatkan diri dengan aktiviti sukan.Hal ini kerana melalui bersukan banyak faedah yang kita peroleh.
            Salah satu daripada faedahnya ialah
dapat menyihatkan tubuh badan.Apabila kita berakreasi seperti berbasikal,bermain badminton dan sebagainya,badan akan mengeluarkan peluh dan berlaku pembakaran lemak dalam tubuh kita.Kesannya, badan kita menjadi sihat dan cergas serta tidak berasa lesu ketika belajar di dalam kelas.
            Seterusnya, melalui bersukan kita
dapat mengeratkan hubungan dan menambah kenalan. Kita dapat berkenalan dengan sesiapa sahaja tidak mengira umur, bangsa mahupun agama. Kebiasaannya, ketika kita berjoging di taman-taman, kita akan bertegur sapa dengan individu yang berada di kawasan itu. Hal ini akan mengeratkan hubungan dan perpaduan antara kaum dapat dipupuk.
            Selain itu, bersukan juga merupakan aktiviti
mengisi masa lapang secara bermanfaat.Sesi latihan  permainan atau beriadah biasanya dijalankan ketika waktu lapang.Kesibukan kita menyertai sesi latihan dan beriadah dapat menghidarkan diri daripada terjebak dalam gejala sosial.
            Di samping itu, dengan bersukan kita
dapat mengharumkan nama sekolah.Sekiranya kita berbakat dalam bidang sukan, kita akan dapat mewakili pasukan sekolah,daerah, negeri mahupun negara.Apabila kita berjaya memenangi mana-mana kejohanan sukan, maka kita telah berjaya mengharumkan nama sekolah.Nama kita juga kian dikenali dan rezeki makin bertambah.
        Kesimpulannya, tiada menjadi kerugian jika kita aktif bersukan.Marilah kita bersama-sama menyahut seruan kerajaan untuk menjadikan rakyat Malaysia masyarakat yang cerdas dan cergas.

 

 

 

 

 

 

Kertas 1 Bahagian A - Faedah-faedah bersukan kepada masyarakat

 

Sukan bukanlah semata-mata aktiviti fizikal yang dilakukan untuk mengisi masa lapang atau sebagai riadah kecil mengeluarkan peluh.Mutakhir ini ,pemodenan sukan bergerak seiring dengan kemajuan dunia dan membawa falsafah yang lebih berat. Pertumbuhan pelbagai bidang sukan yang rancak ini digerakkan dengan lebih dinamik dan profesional. Penglibatan masyarakat dalam bidang sukan juga telah banyak membawa manfaat. Ironinya, penglibatan masyarakat dalam bidang sukan dapat menunaikan pelbagai hasrat bukan sekadar pertarungan di gelanggang sahaja. Persoalannya, apakah faedah-faedah bersukan kepada maasyarakat?

            Salah satu daripada faedah bersukan ialah kegiatan sukan dapat membantu mengekalkan kesihatan fizikal dan mental. Kehidupan zaman moden ini lebih banyak menggunakan tenaga dalaman dan pemikiran.Golongan profesional dan separa profesional dalam membangunkan negara sering kali terpaksa mengabaikan kegiatan fizikal kerana kekurangan waktu untuk tujuan tersebut. Kesibukan semua lapisan masyarakat ini membawa kepada masalah kesihatan fizikal dan mental. Penglibatan golongan kanak-kanak , remaja dan orang dewasa dalam pelbagai kegiatan sukan dapat menyelesaikan pelbagai masalah kesihatan. Kegiatan sukan merupakan  langkah awal seperti kata pepatah “sediakan payung sebelum hujan” dalam mengawal obesiti, penyakit kronik seperti darah tinggi, diabetis dan penyakit jantung. Kegiatan sukan  juga dapat membantu mereka yang telah menghidap penyakit untuk kembali pulih. Penglibatan masyarakat dalam bidang sukan juga mampu menangani ketegangan fikiran dan meringankan bebanan mental. Sesungguhnya kegiatan sukan dapat melancarkan perjalanan darah, mengurangkan lemak yang berlebihan dalam salur darah dan jantung ,membantu perkumuhan dan membuang sisa-sisa yang tidak diperlukan oleh badan. Tegasnya, penglibatan dalam bidang sukan merupakan usaha efektif dalam melahirkan masyarakat yang sihat.

            Selain itu, bersukan juga dapat mengisi masa lapang seseorang. Masa lapang sebenarnya amat berharga bagi  setiap individu atau masyarakat. Seseorang yang melibatkan diri dalam bidang sukan juga adalah satu cara mengisi masa lapang dengan berfaedah. Masa itu emas , walaupun hanya ada beberapa minit, masa itu sangat berharga .Masa lapang ini sangat bermanfaat jika digunakan untuk bersukan bagi mengembalikan tenaga dan melegakan ketegangan. Bagi golongan remaja pula, penglibatan dalam bidang sukan dapat menghindarkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang tidak bermoral , vandalisme dan membuang masa sia-sia seperti melepak , merokok dan terlibat dalam pengambilan dadah. Sukan dapat menarik masyarakat ke arah memanfaatkan masa lapang dengan cara yang lebih baik. Kesan yang jelas ialah sukan mampu meningkatkan swadaya masyarakat dan melangkah gagah  dengan yakin ke peringkat antatabangsa  walaupun melalui ranjau pidana  dunia persaingan hari ini. Sesungguhnya sukan dapat mendisiplinkan masyarakat memanfaatkan masa dengan lebih bermakna.

            Di samping itu, sukan merupakan  salah satu instrumen penting untuk mengeratkan hubungan perpaduan dan integrasi masyarakat. Hal ini demikian kerana, kegiatan sukan dapat melahirkan semangat kekitaan dalam pasukan untuk meraih kemenangan.  Sifat bersatu padu juga dapat dipupuk melalui penglibatan dalam kegiatan sukan kerana bulat air kerana pembentung, bulat  manusia kerana muafakat. Lantaran itu, hubungan yang erat dapat melahirkan sebuah pasukan yang kuat. Para penyokong juga dapat menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di samping berkongsi minat dalam sukan yang sama. Dengan ini, nilai-nilai perpaduan seperti bekerjasama, bertoleransi dan meletakkan kepentingan negara dan pasukan melebihi kepentingan diri dapat dilahirkan melalui penglibatan diri dalam bidang sukan. Justeru , kegiatan sukan dapat mendidik masyarakat bekerjasama dan bersatu padu serta mengeratkan hubungan.

            Akhir sekali, sukan juga mampu memberi ruang untuk menambahkan pendapatan secara individu dan kumpulan. Atlet yang mencapai tahap kemahiran profesional boleh menjadikan sukan sebagai kerjaya yang lumayan. Penganjuran dan pengusaha peralatan dan prasarana sukan juga mampu menjana pendapatan yang besar. Serentak dengan kegiatan sukan secara serius di peringkat  glokal dan global mampu menjana keuntungan melalui kadar tukaran wang asing. Seiring dengan itu, industri hiliran muncul bersama perkembangan sukan yang diceburi. Kemajuan sukan menampakkan hala tuju  anak muda yang berkebolehan mengembangkan bakat dan potensi menjadikan sukan sebagai  kerjaya masa depan mereka. Pemain bola sepak secara professional, pemain badminton  seperti Datuk Lee Chong Wei  dan Shalin Zulkifli masing-masing menjadikan badminton dan  bowling sebagai kerjaya. Jelaslah sukan juga dapat menjadi kerjaya yang baru kepada masyarakat.

Kesimpulannya, penglibatan dalam bidang sukan akan membawa pelbagai faedah kepada masyarakat.Oleh itu , semua lapisan masyarakat amat digalakkan menyertai semua jenis sukan. Sukan diharapkan dapat melahirkan masyarakat yang sihat, bersatu padu, berdaya maju dan berdaya saing. Sukan juga mampu mengangkat martabat rakyat dan negara di persada antarabangsa agar mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan Negara maju yang lain.  Sesungguhnya , sukan berfaedah kepada individu, masyarakat dan negara. Tegasnya,  kegiatan sukan wajar digalakkan kepada semua lapisan masyarakat.

 

Andai ku tahu ini suatu titik permulaan kemesraan terjalin dalam sebuah ikatan merah, kuning, biru, hijau gabungan warna tersulam rapi ...